Penemuan 3,000 artifak daripada 13 kapal karam yang ditemui di sekitar Selat Melaka dan Laut Cina Selatan menjadi bukti kukuh Tanah Melayu pernah menjadi sebuah pelabuhan begitu pesat suatu masa dahulu. Ia juga menjawab segala persoalan yang terdapat dalam banyak catatan oriental Barat dan China yang memperkatakan berkenaan perkembangan serta kepesatan perdagangan di Tanah Melayu bermula sekitar abad ke-4 Masihi. Kepesatan itu menyebabkan Tanah Melayu menjadi rebutan kuasa besar Eropah dan serantau. Penemuan berkenaan hasil penyelidikan Jabatan Arkeologi, Cawangan Arkeologi Bawah Air, Jabatan Warisan Negara (dahulu di bawah Jabatan Muzium Malaysia-JMM) yang menjalankan kajian terbabit sejak 1990-an. Bagaimanapun, hanya 80 koleksi terbaik dipamerkan dalam Pameran Khazanah Kapal Karam: Rahsia Yang Terpendam di Muzium Negara yang berlangsung dari 10 Julai hingga 30 Oktober ini. Pameran itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat barangan sukar ditemui ini ...